Syukur kehadrat ilahi bilamana semester 5 ini telahpun tamat dan semester 6 bakal menanti. Teringat tentang reaksiku dulu apabila mengetahui sepanjang semester 5 aku tidak akan mendapat sesen pun daripada pinjaman ptptn yang aku pinjam. Pelbagai cara dan usaha yang telah aku lakukan bagi mengisi perutku sepanjang semester 5 tersebut. Mujurlah, sebelum permulaan semester 5 itu, cuti semester agak panjang, dan aku sempat melakukan pelbagai kerja untuk mencari duit lebih sepanjang semester 5 itu. Dibenak fikiran aku pada masa itu, selain mencari jalan bagi melunaskan yuran pengajianku, terselit juga keinginanku untuk memiliki laptop sendiri. Sepanjang kehidupanku selama 4 semester di university, hanyalah pc yang menemani ku. Pc itu bukanlah pc yang baru, seingatku, pc itu dibeli ketika aku berada di sekolah rendah lagi. Kalau tak salah, ketika aku berada di darjah 5. Seiring dengan umur pc itu sendiri, ianya banyak mendatangkan masalah kepada aku selain daripada ianya amat perlahan semasa memproses data.
Mujurlah, berkat kegigihanku untuk bekerja, akhirnya aku dapat melunaskan yuran pengajian sebanyak RM1450 dan juga dapat memiliki laptop sendiri walaupun sekadar laptop terpakai yang bernilai hanya RM800, dan tak lupa juga, aku dapat menyediakan wang saku untuk diriku sebanyak RM1500 untuk sepanjang semester 5 itu. Memang perit untuk aku lalui bila duit ptptn disekat kerana kecuaian aku sendiri untuk tidak belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan peperiksaan sekadar bawah 2.0, namun mujurlah aku mampu bangkit untuk mengatasi semuanya itu.
Jika diingat kembali, pelbagai kerja aku telah buat sepanjang cuti semester selama 4 bulan itu. Antaranya ialah, menjual kelapa di kedai santan, memandangkan permintaan kelapa agak tinggi pada masa itu, iaitu semasa bulan Ramadhan. Mujurlah, sekitar rumahku terdapat banyak pokok kelapa. Hasil daripada jualan kelapa, aku Berjaya memperoleh kira-kira RM230.
Disamping menjual kelapa, aku juga mengumpul besi-besi buruk untuk dijual. Mungkin nasib menyebelahi aku bila mana harga untuk 1kg besi agak mahal pada ketika itu berbanding dengan harga pada bulan-bulan sebelumnya iaitu RM1 untuk setiap kilogram dan harga bagi zink pula 40sen per kg. hasil daripada jualan besi buruk ini, aku dapat mengumpul sekitar Rm200.
Pada sebelah petangnya aku mengikut seorang kawanku untuk membuka gerai jualan air soya. Biasalah, pada bulan puasa, permintaan untuk air soya agak tinggi, namun mungkin salah percaturan kami semasa memilih tapak gerai, hasil jualan kami tidaklah begitu membrangsangkan. Pelbagai peristiwa yang kami alami semasa kami berniaga itu antaranya ialah, berselisih faham dengan peniaga sekitarnya kerana mereka mengangap kami telah mengangu perniagaan mereka. Kami juga pernah mendapat ugutan daripada mereka untuk melaporkan gerai kami kepada pihak berkuasa kerana berniaga tanpa permit. Jika difikirkan secara logiknya, gerai kami yang kecil dengan jumlah air soya yang terhad, tidak akan sesekali menggugat perniagaan mereka kerana mereka sendiri mempunyai pelanggan tetap selain kapasiti jualan mereka yang agak besar. Namun, adat berniaga begitulah. Ada perit jerih untuk diharungi. Hasil jualan kami selama 3minggu berniaga hanyalah sebanyak RM120 dan dibahagi 2, aku hanya mendapat RM60 sahaja, mungkin tidak berbaloi, tapi, dari segi pengalaman berniaga amatlah berharga.
Jika difikirkan kembali, 3pekerjaan yang aku lakukan diatas, masih lagi tidak dapat mencapai targetku, aku masih lagi ada 1pekerjaan yang mendatangkan pendapatan yang besar bagiku. Pekerjaan itu sebenarnya pekerjaan utama aku, dan yang aku sebutkan diatas hanyalah pekerjaan sampingan sahaja. Pekerjaan tersebut ialah memungut buah kelapa sawit. Setiap minggu, secara puratanya aku akan mendapat sebanyak Rm250 – RM300 bergantung kepada jumlah berat kelapa sawit itu. Dan dengan hasil daripada inilah aku Berjaya mengumpulkan wang kira-kira 3ribu lebih. Secara jujurnya, kerja ini amat memeritkan tambah lagi jika dilakukan pada bulan puasa. Keimanan akan kuat teruji bila bekerja dengan menggunakan kudrat dan bermandikan peluh.
Alhamdulillah, semuanya telahpun berlalu, dan semester 5 telahpun menutup tirainya dan aku merasa amat bersyukur kerana mampu survive dengan masalah ini, tapi buat masa sekarang ini, hanya satu yang sering bermain difikiranku, bagaimanakah keputusan peperiksaanku untuk semester 5 ini? Adakah aku akan mengulangi pengalaman mengumpulkan duit seperti sebelum ini?
Mungkin jika aku jujur memberitahu kepada ibubapaku tentang pergantungan pinjaman selama 1semester itu, mungkin aku tidak akan melalui semua pengalaman itu, tapi kuat di hatiku berkata, akan hancurlah perasaan kedua ibubapaku bilamana mengetahui keputusan peperiksaanku yang begitu teruk itu. Oleh itu, aku memilih untuk merahsiakannya dan cuba menyelesaikan masalah yang telah aku cipta sendiri. Dan sekarang ini, aku hanya mampu tersenyum bila teringatkan kembali pengalaman yang telah aku lalui. Aku agak bernasib baik juga kerana mampu mengharungi kesemua rintangan itu tanpa melibatkan kedua ibu bapaku dan juga adik-beradikku.
Cant find a word
1 month ago
0 comments:
Post a Comment