VVIP bB

Thursday, April 15, 2010

Kasih ibu hingga ke syurga


"JIKA boleh saya mahu ibu diberi penghargaan mengenakan jubah graduan ketika mengiringi saya mengambil skrol di pentas konvokesyen tidak lama lagi kerana dia terlalu banyak berkorban untuk saya ketika di universiti," kata remaja kurang upaya, Siti Hawa Apandi, 21, daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, Kuantan, Pahang.

Luahan Siti Hawa itu ada kebenarannya kerana sepanjang tiga tahun mengikuti pengajian di Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian UMP, ibunya, Zaidah Tamjis, 47, tidak pernah 'hilang' daripada menghadiri kuliah dan 'menduduki' peperiksaan bersamanya.


Umpama dua badan satu jiwa, Siti Hawa dan ibunya tidak pernah berpisah sejak hari pertama menjejakkan kaki di universiti berkenaan tiga tahun lalu. Ini disebabkan setiap pergerakan Siti Hawa memerlukan Zaidah di sisinya untuk menolak kerusi roda miliknya.


"Sudah sewajarnya ibu diberi penghargaan itu kerana ibu banyak membantu saya mengambil nota kuliah dan apa yang saya tidak faham, ibu mengambil alih bertanya kepada pensyarah.

"Saya kagum dengan kesungguhan dan ketabahan ibu bagi memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran malah ibu juga amat dikenali di kalangan pensyarah serta kakitangan universiti," katanya ketika ditemui di UMP, baru-baru ini.


Siti Hawa adalah penghidap penyakit spinal muscular atrophy (SMA) tahap dua yang melemahkan urat saraf. Ia menyebabkan anggota tubuhnya mengecil dari semasa ke semasa dan semakin hilang keupayaan untuk bergerak.

"Jika bukan ibu, siapa lagi yang hendak mengangkat saya ke bilik mandi, ke tandas, menukar pakaian, menyediakan makan dan minum, menolak saya ke dewan kuliah, membantu saya menulis, mendapatkan buku di perpustakaan dan banyak lagi perkara yang saya tidak mampu lakukan sendirian," katanya.

Siti Hawa adalah pelajar kurang upaya pertama diterima masuk UMP dan sedang menjalani latihan industri di Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) UMP yang diberi tanggungjawab membangunkan sistem pengurusan peralatan pejabat.

"Saya asyik dengan tugas ini dan ia lebih menyeronokkan kerana ibu sentiasa berada di sisi. Malah ibu tidak pernah tiada di saat saya memerlukan pertolongannya, "Terlalu besar pengorbanan yang dilakukannya untuk saya. Tidak tahu sama ada saya berupaya membalasnya atau tidak," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

"Saya diberi kelonggaran menetap di asrama ketika menjalani latihan bagi memudahkan saya berulang alik ke pejabat. "Lebih menyeronokkan saya hanya hadir ke pejabat dua kali seminggu saja dan pada hari lain saya bekerja dari rumah atau asrama," katanya yang mendapat Anugerah Dekan setiap kali ujian semester.

"Saya tidak berupaya langsung untuk bergerak malah untuk memegang sebatang pen dan sehelai kertas, ia begitu menyeksakan serta tidak boleh mengangkat bebanan melebihi 500 gram.


"Sejak kecil saya sudah begini. Saya pasrah dan terlalu menghargai pengorbanan keluarga terutama ibu dan ayah yang sudah banyak berkorban masa serta wang ringgit untuk melihat saya berjaya.

"Saya sendiri tidak dapat pastikan selama mana kebergantungan saya kepada ibu. Ibu sanggup tinggalkan ayah di rumah di Kampung Seri Fajar dan adik di kampung semata-mata mahu menjaga keselamatan saya di sini," katanya yang bercita-cita menjadi pengaturcara komputer.

"Saya tidak mahu masyarakat menganggap golongan seperti saya tidak boleh menyumbang kepada agama, bangsa dan negara tetapi hanya menyusahkan keluarga. Saya berharap mereka mengikis tanggapan negatif itu," katanya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di UMP.

"Setiap apa yang diberikan-Nya, pasti terkandung hikmah di sebaliknya yang kita tidak tahu. Siapa sangka Siti Hawa yang tidak berdaya mengendalikan dirinya, dikurniakan otak yang sempurna dan bijak.


"Saya amat tersentuh apabila ada suara yang mempertikaikan kemampuan anak saya melanjutkan pengajiannya di universiti kerana beranggapan dia tidak mampu untuk berjaya kerana seluruh hidupnya bergantung kepada orang lain.


"Mereka menganggap kekurangan itu hanya menyusahkan orang lain tetapi mereka hanya memandang pada fizikalnya saja tanpa menilai kepintaran Siti Hawa dalam pelajaran.

"Sebab itu, apabila dia berjaya memasuki UMP, saya nekad berada di sisi membantunya belajar kerana mahu membuktikan kecacatan tidak menghalang Siti Hawa untuk mencapai kejayaan," kata ibunya.

sumber: harian metro





0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Powered by Blogger